Ahad, 16 November 2008

AL- QURAN TERAS PENDIDIKAN ANAK DEWASA ZAMAN KINI


Al -Quran merupakan mukjizat terulung Nabi Muhammad s.a.w. Al- Quran adalah kalamullah yang disampaikan kepada baginda melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. Al-  Quran juga menjadi petunjuk untuk umat islam hingga ke akhir zaman. Pentingnya al-Quran ini, maka ia menjadi struktur perlembagaan kepada insan. Darinya wujudlah hadis iaitu kata kata, perbuatan dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Kedua-dua sumber ini kuat dan menguatkan antara satu sama lain. Ulama pula menghuraikan tafsiran al-Quran dan hadis di dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar.

            Menyedari hakikat ini, maka kita telahpun mendapat kesedaran untuk menghidupkan semula roh dan semangat al-Quran untuk diserap kedalam jiwa kesemua anak- anak generasi muda kita pada hari ini. Biarlah darah yang mengalir di dalam tubuh mereka bersemangat al Quran dan biarlah mereka membesar dengan rezeki-rezeki hasil daripada diri mereka yang berjiwa al-Quran serta apabila mereka dapat menghafaz al-Quran, mereka dapat menarik 7 orang mengikutinya masuk ke syurga. Mereka inilah yang di gelar “The Walking al-Quran”.

            Kita mahukan anak-anak pada zaman kini akan kembali kedalam kelompok keluarga dan masyarakat dan membawa budaya baru iaitu budaya al-Quran. Suasana negara kita, Malaysia yang aman damai nerupakan senario paling kondusif untuk meyerapkan ilmu al- Quran ke dalam dada mereka berbanding dengan rakan-rakan sebaya mereka yang berada di Palestine dan Afghanistan yang menggalas senjata demi mempertahankan negara. Mereka di sana tidur berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Keselesaan yang ada pada anak-anak kita inilah yang perlu membuatkan kita menamkan sifat bersyukur ke dalam diri mereka.

            Ibubapa merupakan faktor utama yang menjuruskan anak-anak kesaluran agama. Kita perlulah prihatin agar anak-anak kita tidak mudah terpedaya dengan media massa dan alam sekitar yang kininya banyak merosakkan, menyesatkan dan meruntuhkan akhlak-akhlak sebilangan pelajar dan remaja kita.

            Di samping menghafal al-Quran, anak-anak di dalam KEM TAHFIZ AL QURAN ini akan dilatih dengan ilmu sokongan dan kemahiran yang amat berguna di dalam kehidupan seharian seperti kemahiran menjadi imam, bilal dan pendakwah( daie), ilmu menguruskan jenazah dan praktik peyembelihan haiwan. Bukan itu sahaja, mereka juga akan diberi motivasi yang boleh membangunkan semangat mereka untuk menjadi seorang muslim yang berjiwa kental.

            Sepanjang program KEM TAHFIZ ini berjalan, kita akan manfaatkan keseluruhan masa mereka untuk membentuk pembangunan jiwa, rohani, emosi dan fizikal anak anak dan remaja. Bukanlah harta dan pangkat yang boleh mereka tinggalkan untuk kita ketika berada di alam barzakh, tetapi sifat soleh mereka yang akan menjadi tempat bergantung harap. Kita mahu menebus kesilapan dan kealpaan kita pada masa lampau yang terleka untuk mengajar mereka tentang al-Quran dan inilah masanya untuk kita membimbing mereka dengan menghantar ke KEM TAHFIZ AL-QURAN.

Tiada ulasan: